Tema : Merokok

Tema : Merokok
Arah : Langkah menangani
Isi:
1. Bijak memilih rakan
2. Pemantauan
3. Didikan
4. Kempen
5. Tindakan

                   Dalam mendepani era modenisasi pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara yang semakin pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Bahkan ekonomi negara yang semakin membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut dengan negara maju lain. Namun begitu, dasawarsa ini, isu gejala merokok semakin hangat diperkatakan bak virus epidemik, semakin menjadi polemik dalam kalangan masyarakat. Rokok diperbuat daripada sejenis tembakau yang mengandungi nikotin, candu, tar dan karbon monoksida . Hal ini menjejaskan kesihatan seseorang seperti barah paru-paru, kelahiran bayi pramatang dan mencacatkan fizikal perokok.Biasanya gejala merokok ini terkenal dalam kalangan remaja yang mempunyai masalah terutamanya dari sudut keruntuhan akhlak. Remaja sepatutnya menjadi seperti benih yang baik dilemparkan ke darat menjadi permata yakut yang bersinar cemerlang, dibuang ke laut menjadi pulau yang penuh khazanah.Kerajaan dan masyarakat perlu mengambil langkah sederap dalam mencapai impian mewujudkan bangsa yang cemerlang dengan gabungan semua pihak. Allah dalam Surah Ar-Ra'd berfirman, nasib sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Jangan disebabkan nila setitik rosak bangsa se-Malaysia. Oleh itu, pelbagai modus operandi yang signifikan boleh diaturkan oleh pelbagai pihak bagi mengatasi gejala merokok.

                  Ibnu Khaldun dalam karya mukadimahnya, keutuhan sesuatu bangsa bergantung pada cara pemudanya mempraktikkan sahsiah atau perilaku susila mulia dalam kehidupannya. Oleh itu, sebagai remaja yang bakal menerajui negara, haruslah bijak dalam memilih rakan sebaya. Rakan merupakan insan kedua selepas ibu bapa yang sentiasa bersama-sama kita pada waktu susah atau senang. Jika seseorang itu memiliki rakan yang baik, sudah pasti memberikan impak yang positif sekali gus memperkasakan jati diri sebagai seorang mukmin yang unggul.Perumpamaan teman soleh dan teman yang jahat ialah laksana pembawa wangi-wangian dan tukang besi.Ghalibnya, rakan ketawa mudah dicari, rakan menangis sukar dicari. Oleh itu, remaja haruslah bijak memilih rakan yang dapat membantu dalam meningkatkan prestasi sebagai seorang pelajar. Hadis riwayat Muslim juga ada menyatakan, teman yang paling baik ialah apabila kamu melihat wajahnya , kita akan teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama dan melihat gerak-gerinya teringat akan mati. Oleh itu, rakan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi perilaku merokok dalam kalangan kelompok komuniti remaja di negara kita.

                         Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa merupakan suri teladan terbaik kepada anak-anak untuk membentuk generasi muda yang berakhlak, berilmu dan berjaya. Anak-anal diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang seharusnya mencorakkannya sama ada menjadu Yahudi, Nasrani ataupun Islam. Ibu bapa perlu bersikap cakna terhadap kegiatan remaja masa ini yang semakin hari, semakin terhakis nilai bangsa dan ketandusan niali-nilai kemanusiaan. bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyiapkan diri dengan skil-skil kontemporari bagi menangani merokok ini. Ibu bapa mestilah bijak daripada anak-anak dan sentiasa mendahului dengan memantau sesiapa sahaja yang menjadi rakan baik anak-anak mereka.Malahan ibu bapa yang sibuk dengan tugas ,asing-masing hendaklah meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak mereka untuk mengelakkan mereka kesunyian dan kebosanan. Ramai dalam kalangan pendidik berpendapat, pengaruh utama yang mesti dipantau oleh ibu bapa ialah rokok. Oleh itu , ibu bapa mesti bersikap hikmah dan bijaksana dalam menarik minat anak ke arah kebaikan bertepatan dengan peribahasa, ibarat menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Firman Allah dalam Surah An.Nahl ayat 125 berbunyi, serulah ke jalan Tuhan-Mu wahai Muhammad dengan hikmah dan pengajaran yang baik serta berbahaslah dengan cara yang terbaik. Sekiranya ibu bapa berjaya menjadi suri teladan terbaik dalam pencegahan gejala merokok maka remaja Malaysia mampu menjadi ikon terbaik di persada dunia.

                                  Dari sudut kodifikasi yang berbeza, organisasi pendidikan merupakan satu organisasi yang terpenting dalam sesebuah negara. Hal ini bukan sahaja sebagai indikator pada tahap pembangunan negara, malah akan menjadi indikator hala tuju negara pada masa akan datang.Umumnya organisasi pendidikan seperti sekolah merupakan entiti yang unik kerana mampu menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan dalam menyelesaikan masalah disiplin seperti merokok, gengsterisme, bili dan dadah. Merokok dalam kalangan pelajar di sekolah merupakan masalah utama dan semakin hari semakin parah. Oleh itu, guru-guru digalakkan menggunakan pelbagai media yang berkaitan dengan gejala ini seperti poster-poster yang berkaitan dengan rokok dan risalah kandungan rokok serta bahan audio video berkaitan rokok. Penggunaan bahan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran secara berterusan akan memberi kesan mendalam kepada pelajar.Bahkan, pengukuhan dan penghayatan agama Islam dalam kalangan pelajar ialah strategi yang paling berkesan. Islam sebagai agama syumul mempunyai nilai-nilai sejagat yang dapat diterapkan dalam diri pelajar. Di samping itu, menurut Abdullah Al-Qari b Haji Salleh, merokok boleh boleh menjejaskan akal fikiran manusia dan proses kematangannya. Rasullullah juga pernah bersabda bahawa, umat Islam dilarang menggunakan setiap yang memabukkan dan melemahkan tubuh dan akal fikiran.Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur kita sediakanlah payung sebelum hujan. Pendidikan yang utuh lagi mapan  haruslah dipraktikkan dalam diri remaja bermulanya daripada insan yang bergelar pendidik. Sekiranya pendidikan memberikan kesan yang mendalam kepada anak-anak remaja maka golongan perokok di negara kita dapat dikurangkan. Di samping itu, prinsip negara bebas daripada rokok dapat direalisasikan jika rokok diangkat menjadi musuh utama golongan remaja di negara ini.

                      Memetik wasitah nirmala yang berbeza, melalui kempen kesedaran yang diadakan oleh pihak governan seperti kempen antirokok, generasi muda akan lebih terdedah tentang bahaya merokok.Hal ini bertepatan dengan aforisme, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Hatta , kempen  secara berterusan terutamanya pada peringkat institusi pendidikan merupakan salah satu modus operanda yang efisien dalam menangani tabiat merokok. Hal ini kerana, melalui kempen di sekolah dan institusi pendidikan dilihat mampu menyalurkan maklumat secara berterusan kepada pelajar dan masyarakat. Di sekolah misalnya, penerapan kempen bahana merokok bukan sahaja diadakan secara formal tetapi juga melalui kempen serampang dua mata yang merentas kurikulum dalam bilik darjah. Perkara ini amat penting kerana dilihat mampu mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan pelajar dan masyarakat madani kini melalui pengajaran berkesan. Uswahnya, melalui mata pelajaran Sains pelbagai impak daripada tabiat merokok dapat diketaahui oleh pelajar. Kempen Tak Nak Merokok melalui media massa pada tahun 2010 telah berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai. Malahan jumlah Klinik Berhenti Merokok kerajaan telah ditambah daripada 167 buah kepada lebih 200 buah pada tahun ini. Oleh itu, pihak governan haruslah mevariasikan Kempen Tak Nak Merokok agar dapat menjadi satu medium yang dapat menarik dan membuka mata masyarakat setempat. Janganlah hanya bersandarkan cakap-cakap dan angan-angan Mat Jenin kerana walaupun gah setinggi gunung namun akhirnya jatuh  ke perdu kelapa jua.

                             Sebagaimana yang kita ketahui, banyak impak negatif akan berlaku jika remaja di Malaysia terus alpa dan terbawa-bawa dengan amalan merokok. Langkah yang berkesan dan pragmatik perlu diswadaya iaitu mengenakan tindakan tegas terhadap perokok yang merokok di kawasan larangan. Pemilik kedai yang menjual rokok kepada remaja berusia bawah 18 tahun  juga perlu dikenakan tindakan tegas dan didenda. Selain itu, perokok wajar dikenakan  tindakan tegas bagi memberikan pengajaran kerana memberi marabahaya kepada orang lain.Masalah ini perlu ditangani segera sebelum menjadi parah. Oleh itu, kempen antimerokok yang dilaksanakan perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak.Umpamanya, dalam ketamadunan Hwang Ho hanya ketegasan undang-undang yang dapat mengawal tingkah laku manusia dan tiada belas kasihan. Tindakan seperti menaikkan harga rokok ke paras maksimum dan denda kepada perokok yang ingkar terhadap larangan merokok perlu dilaksanakan segera. Sementelahan tindakan mandatori seperti ini mampu menimbulkan elemen ketakutan dan kesedaran dalam diri perokok tegar. Hal ini bertepatan dengan aforisme, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Sekiranya pihak penguat kuasa seiring sejalan dengan kempen antirokok di negara ini, maka masyarakat Malaysia akan bebas daripada kongkongan najis rokok yang merosakkan akal dan pemikiran umat manusia.

                             Sebagai pengitlakan, nasib sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Oleh itu semua pihak perlu bersatu hati, berpadu tenaga, bertindak seia sekata dalam mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah merokok dalam kalangan remaja. Hal ini bagi memastikan kewujudan sebuah bangsa Malaysia yang maju, berdaya saing dan memiliki citra bangsa yang kompetetif seiring dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun  Razak bagi menjadikan bangsa Malaysia bangsa yang bertaraf dunia. Namun begitu, iltizam remaja perlu dipahat jitu dalam diri mereka bertepatan dengan peribahasa serumpun bagai serai, seliang bagai tebu. Janganlah remaja tewas dalam godaan dan cabaran kehidupan yang semakin menjadi-jadi. Sebaliknya mereka perlu memperkasakan diri bagai burung jentayu patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku.