Tema: Semangat Patriotik

Soalan : Wajib lulus mata pelajaran Sejarah mampu meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Bahaskan.

Dasawarsa ini, isu semangat patriotik yang semakin luntur dalam atma rohani generasi akar umbi kerap menjadi perbincangan dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi konsepnya, semangat patriotik boleh didefinisikan sebagai semangat cinta akan tanah air dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara tercinta. Biasanya, golongan remaja yang tidak menyedari kepentingan sejarah silam tidak memiliki semangat patriotik. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Menurut Tun Dr Mahathir, tiada bangsa di dunia yang tidak mencintai tanah airnya sendiri. Natijahnya, negara akan menjadi mundur, masa depan negara kabur jika generasi pelapis luntur semangat patriotiknya. Oleh itu , langkah kerajaan yang akan mewajibkan pelajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) lulus mata pelajaran sejarah merupakan langkah yang pragmatik untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan belia.

Antara sebab kerajaan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Sejarah adalah kerana sifat menyeluruh isi kandungan mata pelajaran Sejarah. Hal ini kerana peristiwa dan tarikh yang tercatat dalam sejarah tidak boleh dipesongkan kerana faktanya tepat dan tidak terseleweng. Justeru, peristiwa 31 Ogos 1957 dan 13 Mei 1963 wajar dijadikan iktibar agar generasi muda lebih menghargai dan menyedari kepentingan sejarah silam. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Menurut Datuk Dr Haji fadzillah Kamsah, manusia tanpa sejarah, melakukan kesalahan yang sama berulang kali.Sekiranya, mata pelajaran Sejarah bersifat menyeluruh dipelajari dan dihayati oleh generasi pelajar , maka pastinya semangat patriotik akan lebih membara dalam jiwa mereka.

Selain itu, tiada cara lain yang lebih berkesan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam diri pelajar selain daripada mata pelajaran Sejarah. Hal ini kerana, mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik tidak membantu secara langsung pemupukan semangat patriotik.Menurut kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia mendapati,mata pelajaran Sejarah memberikan pendedahan kepada golongan pelajar untuk memahami dan menghayati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.Hal ini bertepatan dengan peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Menurut Abraham Lincoln, semangat patriotik  merupakan asas pembentukan sebuah negara bangsa. Sekiranya, segenap lapisan marhaen di Malaysia menghayati sejarah negara, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara maju, aman dan damai.

Dalam pada itu, semangat patriotik yang semakin luntur dalam kalangan remaja hari demi hari menyebabkan mata pelajaran Sejarah perlu diwajibkan untuk lulus. Hal ini demikian kerana terdapat banyak insiden tidak bermoral seperti menjadikan Jalur Gemilang sebagai kain basahan dan sikap kurang ajar Namawee yang menukar lirik lagu Negaraku ke Negarakuku. Justeru, mata pelajaran Sejarah perlu disuntik secara paksa dan lebih mendalam dengan cara wajib lulus. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, cegah sebelum parah. Sekiranya pelajar sedar dan percaya akan kepentingan wajib lulus mata pelajaran Sejarah, maka pastinya hasrat mahu melihat generasi muda lebih bersemangat patriotik akan tercapai.

Akhir kalam, isu semangat patriotik yang semakin luntur kerap menjadi polemik dalam kalangan rakyat Malaysia. Sememangnya, semangat patriotik  dalam diri rakyat Malaysia kini berada pada tahap yang rendah dan tidak boleh dibanggakan. Semoga,api semangat patriotik terus berkobar-kobar dan bernyala dalam diri setiap insan.Oleh itu kita perlu bersinergi supaya semangat patriotik dalam kalangan  marhaen lebih baik. Sekiranya, semangat patriotik kita tinggi, maka negara kita menjadi lebih utuh dan kukuh  seperti negara-negara atas angin.

[Nor Ainaa Binti M.Azam, 5 Bestari SMKBR]

Tema: Gejala Buli

Gejala buli semakin berleluasa dalam kalangan remaja.
Bincangkan langkah mengatasi gejala buli di sekolah.


Belakangan ini, isu gejala buli sering meniti dari bibir ke bibir golongan marhaen di negara ini. Dari segi konsepsinya, gejala buli boleh ditakrifkan sebagai perbuatan memeras ugut pelajar lain hingga mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa. Biasanya, murid sekolah menengah yang bermasalah terlibat dalam gejala buli ini. Keadaan pembuli dan mangsanya bertepatan dengan peribahasa, bagai anjing dengan kucing. Oleh itu, terdapat pelbagai strategi untuk mengatasi gejala buli di sekolah.

Antara prakarsa yang pragmatik dan berkesan untuk menangani gejala buli ialah remaja seharusnya bijak memilih rakan sebaya. Hal ini demikian dapat mengelakkan remaja daripada terlibat dalam gejala negatif. Justeru, remaja perlu mencari rakan yang Islamik, taat kepada kedua ibu bapa dan mempunyai budi pekerti mulia sebagai rakan akrab. Natijahnya, remaja boleh menghindarkan diri daripada terlibat dalam gejala buli serta perlakuan negatif yang lain. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Arab, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya. Rakan yang baik boleh dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan harum baunya. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, orang yang cemerlang dan hebat dalam pergaulan bermula daripada cetusan aura apabila dikelilingi rakan-rakan yang hebat. Sekiranya remaja Malaysia bijak dalam bersahabat, maka pastinya gejala buli dapat dikurangkan.

Selain itu, langkah seterusnya ialah ibu bapa bertanggungjawab memantau tingkah laku anak-anak mereka. Hal ini demikian, ibu bapa boleh mengesan sebarang perlakuan aneh anak-anak mereka. Justeru, ibu bapa seharusnya megetahui keberadaan anak-anak mereka dengan sentiasa berhubung melalui telefon bimbit. Natijahnya, ibu bapa boleh menghindarkan anak-anak mereka daripada sebarang perlakuan songsang terutamanya buli. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa pencoraknya. Pemantauan berkesan oleh ibu bapa dalam menangani gejala buli boleh dianalogikan seperti selimut yang menutup tubuh ketika kesejukan. Sekiranya, ibu bapa peka dengan tingkah laku anak-anak maka statistik masalah buli dalam kalangan remaja di sekolah akan berkurangan.

Selain itu, pihak kerajaan boleh menjenamakan semula kempen antibuli yang selama ini saban tahun diadakan di sekolah. Hal ini kerana kempen antibuli yang berteraskan ceramah dan pameran agak kurang terkesan di hati para pelajar. Pihak sekolah melalui Unit Disiplin Sekolah boleh menukar strategi kempen yang proaktif dan provokatif bagi tujuan menakut-nakutkan bakal pembuli. Justeru, pihak sekolah umpamanya boleh meminta kerjasama pihak Jabatan Penjara Malaysia atau Polis Diraja Malaysia bagi memastikan kempen antibuli menjadi lebih berkesan. Kerjasama pelbagai pihak dalam menangani gejala buli boleh diumpamakan seperti ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sekiranya, kempen antibuli berjaya meresapi nurani pelajar maka pastinya sekolah menjadi tempat yang lebih selamat untuk semua pelajar.


Akhir kalam, gejala buli yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat pelajar di negara ini perlu ditangani segera. Sememangnya gejala buli masih wujud namun banyak kes-kes terpencil disensasikan oleh media massa di negara ini. Semoga gejala buli dapat ditangani secara bijaksana oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pihak sekolah. Oleh itu  kita perlu bersinergi dalam memastikan gejala buli dapat dilenyapkan di bumi bertuah ini. sekiranya gejala buli tidak wujud maka Malaysia mampu berdiri gah di persada dunia dan mendabik dada kerana generasi mudanya bertaraf dunia.


[Nur Asyikin Zailan , 5 Bestari SMK BR]