KARANGAN BAHAGIAN A (SPM 2009)


SKRIP CONTOH – CEMERLANG ( 28 MARKAH)
            Badan beruniform tidak asing lagi bagi masyarakat terutamanya golongan remaja yang bergelar pelajar. Secara holistiknya, badan-badan beruniform yang ditubuhkan di sekolah mendapat sambutan dan penyertaan yang menggalakkan daripada  pelajar. Badan-badan beruniform seperti Kadet Polis, Persatuan Bulan Sabit Merah, Kadet Remaja Sekolah dan lain-lain lagi bukan sahaja menarik minat golongan pelajar dengan aktiviti-aktivitinya, malah faedah-faedah menyertai badan berunuform mendorong pelajar untuk melibatkan diri dalam badan-badan beruniform
            Antara faedah menyertai badan beruniform ialah dapat meningkatkan mental dan fizikal pelajar. Seperti yang kita ketahui, badan beruniform biasanya menjalankan aktiviti yang agak lasak dan mencabar ketahanan mental dan fizikal peseanya. Hal ini sudah tentu mampu meningkatkan ketahanan bukan sahaja dari segi fizikal malah mental peserta. Sebagai contoh, Kadet Remaja Sekolah menjalankan aktiviti “Flying Fox” yang menguji fizikal dan mental. Bagi ahli kadet yang baru pertama kali menyertai aktiviti ini, aktiviti ini merupakan pengalaman baru yang mencabar mental dan fizikal mereka sekali gus meningkatkan ketahanan mental dan fizikal mereka. Oleh yang demikian, badan beruniform terbukti dapat meningkatkan ketahanan mental dan fizikal peserta.
            Selain itu, badan beruniform juga dapat membentuk semangat kerjasama dan disiplin ahli yang jitu. Hal ini demikian, dalam badan beruniform terdapat pelbagai peraturan yang perlu dipatuhi oleh ahli sama ada ketika menjalankan aktiviti mahupun hari-hari biasa. Badan beruniform amat menekankan disiplin ahli  yang tinggi dan semangat kerjasama antara ahli bagi menjayakan sesuatu aktiviti. Hal ini dapat digambarkan melalui aktiviti perkhemahan yang dijalankan oleh badan beruniform seperti Persatuan Pengakap. Hal ini kerana, dalam aktiviti perkhemahan setiap ahli akan diberikan tugasan sama ada secara berkumpulan atau berpasangan. Oleh itu, setiap ahli yang berdisiplin akan menjalankan tugas dengan sempurna di samping bekerjasama dengan ahli yang lain bagi menyempurnakan tugas tersebut. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa badan beruniform mampu membentuk semangat kerjasama dan disiplin ahli yang jitu.
            Badan beruniform  juga dapat memberikan pengetahuan asas bantuan kecemasan kepada ahli. Hal ini kerana, terdapat badan beruniform yang menyediakan program bagi mendedahkan ahli tentang asas bantuan kecemasan melalui teori dan praktikal. Hal ini secara tidak langsung akan menambah pengetahuan asas bantuan kecemasan kepada ahli. Sebagai contoh, ahli Persatuan  Bulan Sabit Merah dapat mengaplikasikan asas-asas bantuan kecemasan kepada atlet-atlet yang mengalami kecederaan semasa aktiviti sukan sekolah.
            Kesimpulannya, badan beruniform banyak memberikan faedah kepada ahli yang menyertainya. Oleh itu, langkah-langkah untuk menubuhkan lagi badan beruniform wajar dilaksanakan agar peluang terutamanya kepda remaja terbuka luas untuk menyertainya sekali gus dapat melahirkan remaja yang berwawasan dan mampu menjadi aset penting negara.

KARANGAN DIMENSI KELUARGA

Tulisan Asha SMK Semambu.
Otak yang cerdas lahir daripada badan yang sihat. Oleh itu, generasi kini perlu dididik untuk mengamalkan budaya hidup sihat.
Bincangkan peranan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

Contoh bahagian pendahuluan:
    Mayapada budaya hidup sihat perlu diamalkan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak di negara ini. Dari segi konsepsinya, gaya hidup sihat boleh diikhtisarkan sebagai amalan pemakanan dan gaya hidup yang perlu  diamalkan agar kita dapat hidup secara baik dan terarah. Izharnya, gaya hidup sihat perlu diamalkan oleh setiap insan supaya badan mereka cergas dan otak menjadi cerdas. Menurut Datuk Dr Hj Fadzillah kamsah, gaya hidup sihat perlu dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa dalam memastikan kelangsungan hidup yang sihat, berkat dan harmonis. Oleh itu, ibu bapa perlu bersinergi dalam menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan keluarga sakinah.

Perhatikan binaan ayat dalam perenggan di atas dan bandingkan dengan struktur ayat dalam TMP seperti di bawah :

Ayat 1 Ayat penyataan tema(mayapada,marcapada…..)
Ayat 2 Definisi tema(Dari segi konsepsinya.....)
Ayat 3 Ayat rangsangan (mengapa/bagaimana/siapa)
Ayat 4 Ayat contoh / tokoh(Menurut......)
Ayat 5 Ayat arah soalan(Oleh itu,....(arah soalan)


LATIHAN MENGENAL PASTI TEMA DAN ARAH SOALAN


TEMA DAN ARAH SOALAN
Latihan  1

Nyatakan tema dan arah soalan tajuk karangan di bawah.

Kegilaan terhadap pelbagai program televisyen realiti mengakibatkan tumpuan dalam bidang pelajaran anak-anak terabai.

Berikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa dalam usaha mengawal kecenderungan anak-anak terhadap program televisyen realiti ini.

Tema                : ................................................................................................................


Arah soalan      ; ................................................................................................................

Latihan 2

Nyatakan tema dan arah soalan tajuk karangan di bawah.


Di Malaysia, nasib golongan istimewa atau lebih dikenali sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) turut mendapat perhatian serius dan pembelaan daripada pihak kerajaan dan masyarakat yang amat prihatin terhadap golongan tersebut.

Tulis sebuah rencana tentang usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan bagi membantu golongan tersebut.

Tema                : ................................................................................................................


Arah soalan      ; ................................................................................................................


Latihan 3

Nyatakan tema dan arah soalan tajuk karangan di bawah.


Negara kita telah berjaya merapatkan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar melalui bahasa, kebudayaan, dan sistem pendidikan yang sistematik.

Ulaskan pernyataan tersebut

Tema                : ................................................................................................................

Arah soalan      ; ................................................................................................................

PENJELASAN RINGKAS TMP

BAHAGIAN PENDAHULUAN
Secara ringkasnya, perenggan pendahuluan TMP mempunyai bentuk seperti berikut:.

Ayat 1 Ayat penyataan tema(mayapada,marcapada…..)
Ayat 2 Definisi tema(Dari segi konsepsinya.....)
Ayat 3 Ayat rangsangan (mengapa/bagaimana/siapa)
Ayat 4 Ayat contoh / tokoh(Menurut......)
Ayat 5 Ayat arah soalan(Oleh itu,....(arah soalan)

BAHAGIAN ISI
Secara ringkasnya, perenggan isi TMP mempunyai bentuk seperti berikut:.

Ayat 1 Ayat arah soalan t tema
Ayat 2 Ayat rangsangan ( mengapa, bagaimana, siapa)
Ayat 3 Ayat rangsangan( mengapa, bagaimana, siapa)
Ayat 4 Ayat contoh / tokoh
Ayat 5 Ayat rangsangan kesimpulan perenggan(Sekiranya,...)


BAHAGIAN KESIMPULAN
Secara ringkasnya, perenggan kesimpulan TMP mempunyai bentuk seperti berikut:.

Ayat 1 Ayat penyataan tema(Akhirulkalamnya,….)
Ayat 2 Ayat rangsangan harapan (Semoga….)
Ayat 3 Ayat rangsangan Pandangan (sememangnya,.....)
Ayat 4 Ayat rangsangan cadangan(Oleh itu, kita perlu....)
Ayat 5 Ayat rangsangan kesimpulan perenggan(Sekiranya....)

KARANGAN PERIBAHASA

Amalan menabung sejak kecil merupakan amalan bijak selaras dengan peribahasa sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Huraikan faedah-faedah yang akan dinikmati daripada amalan menabung dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tema soalan    :   Amalan menabung
Arah soalan     :   Faedah

"Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain". Demikianlah ungkapan pepatah yang menunjukkan bahawa kesenangan dan kekayaan tidak akan diperoleh dengan mudah. Dari segi konsepsinya, menabung dapat ditakrifkan sebagai menyimpan sedikit daripada hasil pendapatan untuk digunakan di kemudian hari.Hal ini juga boleh diibaratkan seperti yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang. Hal ini demikian, untuk memperoleh kemewahan dan kesenangan hendaklah dimulakan dengan cara berjimat-cermat dan berdikit-dikit. Sesuai dengan kemelesetan ekonomi yang melanda dunia pada hari ini, amalan menabung perlu diamalkan oleh masyarakat untuk melatih diri agar berjimat-cermat. Justeru banyak faedah yang boleh diperoleh  jika kita mengamalkan amalan menabung.