Showing posts with label KARANGAN CONTOH 2012. Show all posts
Showing posts with label KARANGAN CONTOH 2012. Show all posts

Tema :Menghargai kasih sayang guru


Soalan Percubaan Kedah: 
Konsep Sekolah Penyayang berteraskan budaya kemesraan dan sayang menyayangi dalam kalangan guru dan murid.
Jelaskan cara-cara anda menghargai kasih sayang guru.

TEMA    : Menghargai kasih sayang guru
ARAH    : Cara


                Dalam mendepani era milennium pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara yang semakin pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ekonomi negara yang semakin maju ibrata tenggelam sama basah, timbul sama hanyut dengan negara maju lain. Namun, dasawarsa ini generasi muda kurang menghormati guru sungguhpun golongan guru ibarat lilin yang yang sanggup membakar diri. Suffian Astauri ada menyatakan, menuntut ilmu lebih utama daripada solat sunat. Hal ini kerana , menuntut ilmu merupakan bekalan pahala kita di akhirat nanti. Surah Al-Baqarah ada menjelaskan, boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut baik untukmu, boleh jadi kamu menyukai sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut tidak baik untukmu. Hatta, tanpa guru tidak lahir golongan cerdik pandai yang mampu memimpin negara ke arah kecemerlangan. Oleh itu, Konsep Sekolah Penyayang yang berteraskan budaya kemesraan dan kasih sayang antara guru dan murid sewajarnya diterapkan di setiap sekolah. Rentetan itu, murid akan lebih menghargai  setiap ilmu yang dititiskan oleh guru. Malahan, terdapat pelbagai variasi uslub dan minhaj boleh diswadaya bagi menghargai golongan guru. Hal ini kerana, guru sentiasa menganggap murid sebagai benih yang baik dilemparkan ke darat menjadi permata yakut yang bersinar cemerlang, dilemparkan ke laut menjadi pulau penuh khazanah.

                Sudah terang lagi bersuluh, prakarsa yang afdal untuk menghargai kasih sayang guru adalah menghormatinya. Tamsilnya, kita mestilah memberi salam dan mengikuti arahan guru pada setiap masa. Hal ini kerana, guru ialah orang yang mencurahkan ilmu dan mengajar kita erti kehidupan tanpa mengenal jemu. Natijahnya, kita akan menjadi orang yang berpengetahuan luas dan bersedia menghadapi krisis kehidupan pada masa akan datang. Murid yang menghormati guru boleh dianalogikan seperti semut merah yang menghormati dan melindungi permaisurinya. Menurut Whittier, apabila kepercayaan terhadap guru hilang, maka matilah orang itu. Surah An Nahl ayat 125 ada menyatakan, serulah ke jalan Tuhan-Mu wahai Muhammad dengan hikmah dan pengajaran yang baik serta berbahaslah dengan cara yang terbaik. Hal ini bermakna, guru merupakan orang yang sepatutnya kita letakkan di tempat yang tinggi kerana agama Islam sendiri meletakkan guru sebagai insan selepas ibu dan bapa. Sekiranya pelajar di Malaysia menghormati guru-guru mereka , maka wujudlah suasana sekolah yang kondusif dan harmonis. Oleh itu, marilah kita menghormati guru yang mengajar kita supaya kita menjadi pelajar yang cemerlang dan berakhlak mulia.

               
                Peribahasa Melayu ada menyatakan, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Oleh itu, sebagai murid, kita seharusnya bersyukur dan sentiasa mendoakan kebahagiaan guru yang telah mendidik kita tanpa jemu. Tambahan pula, mereka sanggup bersengkang mata menanda kertas peperiksaan dan mengadakan kelas tambahan semata-mata mahu melihat kejayaan anak didiknya. Jika kita sentiasa mendoakan kebahagiaan guru-guru kita, ilmu yang kita pelajari akan kekal dan diberkati oleh Allah s.w.t. Imam Abu Hanifah pernah menyatakan, “tidak sekalipun aku solat kecuali aku doakan untuk guruku Hammad dan mereka yang pernah mengajarku.” Hal ini kerana, sebagai umat Islam kita seharusnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam  dan mentaati serta mendoakan guru-guru kita agar kita dapat belajar dengan tenang dan selesa.

                Sebagai remaja yang lagi lebai lagi berjanggut, kita semestinya membantu guru tatkala mereka inginkan pertolongan kita.Hal ini kerana, guru merupakan golongan yang perlu dihormati oleh individu bergelar pelajar. Natijahnya, keberkatan ilmu  akan diperoleh jika menyenangkan hati guru mereka tanpa menggores perasaan mereka. Seyogia, setiap pelajar harus ringan tulang membantu guru-guru mereka. Hal ini bertepatan dengan aforisme, habis kapak berganti beliung. Tanpa sikap ringan tulang, pasti pelajar akan mengalami kesukaran untuk berjaya kelak. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, pelajar yang terbaik ialah pelajar yang sentiasa datang awal ke sekolah membantu guru sesuai dengan peribahasa hanyut dipintasi, lulus diselami dan hilang dicari. Sementelahan, jasa guru terhadap pelajar tidak ternilai dengan harta dan wang ringgit. Sekiranya setiap pelajar berusaha sedaya upaya menbatu guru seperti membawa buku guru dan menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan, segala ilmu akan beroleh keberkatan.
Peribahasa seperti pahat dengan penukul menggambarkan sikap liat dan berat hati dalam melakukan tugasan. Oleh itu , pelajar perlu mengubah sikap dan sentiasa bertindak pantas dalam membuat sebarang tugasan yang diarahkan oleh guru. Menurut Surah Ar Ra’d, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum tersebut yang mengubahnya. Hal ini menunjukkan bahawa, pelajar perlu memiliki wawasan dan visi yang jelas di sekolah. Sikap malas harus dibuang sama sekali dan sikap rendah diri dalam menyiapkan sebarang tugasan yang diberikan oleh guru perlu wujud dalam diri pelajar. Seperkara yang penting ialah, setiap tugasan merupakan amanah yang diberikan oleh guru kepada murid. Manakala sebagai murid, kita perlu berusaha sedaya upaya menyiapkan tugasan yang terbaik untuk diserahkan kepada guru. Sekiranya semua pelajar berintegriti dalam menyiapkan tugasan serta memahami tanggunjawab diri, maka elemen kasih sayang antara guru dan murid semakin terpaut erat.

Sebagai pengitlakan, guru ialah insan yang perlu kita letakkan pada darjat yang tinggi. Guru banyak berkorban masa dan tenaga mendidik kita sehingga berjaya. Albert Einstein sendiri pernah menyatakan, ilmu tanpa agama ialah buta. Hal ini membuktikan kepada kita bahawa, pelajar yang berilmu dan berpengetahuan dalam semua bidang terhasil daripada komitmen dan kerja keras golongan guru. Sebagai murid, kita perlu menjadi seperti burung jentayu yang patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku dalam memartabatkan guru-guru kita. Sekiranya semua pelajar menghargai jasa dan pengorbanan guru, maka ilmu yang dipelajari diberkati dan seterusnya menjana modal insan kelas pertama.
                Jika hari ini seorang ulama yang mulia ,
                Jika hari ini seorang peguam menang bicara ,
Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa ,
Semuanya bermula dengan guru biasa ,
Yang mengajar tulis baca.

Tema : Merokok

Tema : Merokok
Arah : Langkah menangani
Isi:
1. Bijak memilih rakan
2. Pemantauan
3. Didikan
4. Kempen
5. Tindakan

                   Dalam mendepani era modenisasi pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara yang semakin pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Bahkan ekonomi negara yang semakin membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut dengan negara maju lain. Namun begitu, dasawarsa ini, isu gejala merokok semakin hangat diperkatakan bak virus epidemik, semakin menjadi polemik dalam kalangan masyarakat. Rokok diperbuat daripada sejenis tembakau yang mengandungi nikotin, candu, tar dan karbon monoksida . Hal ini menjejaskan kesihatan seseorang seperti barah paru-paru, kelahiran bayi pramatang dan mencacatkan fizikal perokok.Biasanya gejala merokok ini terkenal dalam kalangan remaja yang mempunyai masalah terutamanya dari sudut keruntuhan akhlak. Remaja sepatutnya menjadi seperti benih yang baik dilemparkan ke darat menjadi permata yakut yang bersinar cemerlang, dibuang ke laut menjadi pulau yang penuh khazanah.Kerajaan dan masyarakat perlu mengambil langkah sederap dalam mencapai impian mewujudkan bangsa yang cemerlang dengan gabungan semua pihak. Allah dalam Surah Ar-Ra'd berfirman, nasib sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Jangan disebabkan nila setitik rosak bangsa se-Malaysia. Oleh itu, pelbagai modus operandi yang signifikan boleh diaturkan oleh pelbagai pihak bagi mengatasi gejala merokok.

                  Ibnu Khaldun dalam karya mukadimahnya, keutuhan sesuatu bangsa bergantung pada cara pemudanya mempraktikkan sahsiah atau perilaku susila mulia dalam kehidupannya. Oleh itu, sebagai remaja yang bakal menerajui negara, haruslah bijak dalam memilih rakan sebaya. Rakan merupakan insan kedua selepas ibu bapa yang sentiasa bersama-sama kita pada waktu susah atau senang. Jika seseorang itu memiliki rakan yang baik, sudah pasti memberikan impak yang positif sekali gus memperkasakan jati diri sebagai seorang mukmin yang unggul.Perumpamaan teman soleh dan teman yang jahat ialah laksana pembawa wangi-wangian dan tukang besi.Ghalibnya, rakan ketawa mudah dicari, rakan menangis sukar dicari. Oleh itu, remaja haruslah bijak memilih rakan yang dapat membantu dalam meningkatkan prestasi sebagai seorang pelajar. Hadis riwayat Muslim juga ada menyatakan, teman yang paling baik ialah apabila kamu melihat wajahnya , kita akan teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama dan melihat gerak-gerinya teringat akan mati. Oleh itu, rakan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi perilaku merokok dalam kalangan kelompok komuniti remaja di negara kita.

                         Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa merupakan suri teladan terbaik kepada anak-anak untuk membentuk generasi muda yang berakhlak, berilmu dan berjaya. Anak-anal diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang seharusnya mencorakkannya sama ada menjadu Yahudi, Nasrani ataupun Islam. Ibu bapa perlu bersikap cakna terhadap kegiatan remaja masa ini yang semakin hari, semakin terhakis nilai bangsa dan ketandusan niali-nilai kemanusiaan. bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyiapkan diri dengan skil-skil kontemporari bagi menangani merokok ini. Ibu bapa mestilah bijak daripada anak-anak dan sentiasa mendahului dengan memantau sesiapa sahaja yang menjadi rakan baik anak-anak mereka.Malahan ibu bapa yang sibuk dengan tugas ,asing-masing hendaklah meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak mereka untuk mengelakkan mereka kesunyian dan kebosanan. Ramai dalam kalangan pendidik berpendapat, pengaruh utama yang mesti dipantau oleh ibu bapa ialah rokok. Oleh itu , ibu bapa mesti bersikap hikmah dan bijaksana dalam menarik minat anak ke arah kebaikan bertepatan dengan peribahasa, ibarat menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Firman Allah dalam Surah An.Nahl ayat 125 berbunyi, serulah ke jalan Tuhan-Mu wahai Muhammad dengan hikmah dan pengajaran yang baik serta berbahaslah dengan cara yang terbaik. Sekiranya ibu bapa berjaya menjadi suri teladan terbaik dalam pencegahan gejala merokok maka remaja Malaysia mampu menjadi ikon terbaik di persada dunia.

                                  Dari sudut kodifikasi yang berbeza, organisasi pendidikan merupakan satu organisasi yang terpenting dalam sesebuah negara. Hal ini bukan sahaja sebagai indikator pada tahap pembangunan negara, malah akan menjadi indikator hala tuju negara pada masa akan datang.Umumnya organisasi pendidikan seperti sekolah merupakan entiti yang unik kerana mampu menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan dalam menyelesaikan masalah disiplin seperti merokok, gengsterisme, bili dan dadah. Merokok dalam kalangan pelajar di sekolah merupakan masalah utama dan semakin hari semakin parah. Oleh itu, guru-guru digalakkan menggunakan pelbagai media yang berkaitan dengan gejala ini seperti poster-poster yang berkaitan dengan rokok dan risalah kandungan rokok serta bahan audio video berkaitan rokok. Penggunaan bahan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran secara berterusan akan memberi kesan mendalam kepada pelajar.Bahkan, pengukuhan dan penghayatan agama Islam dalam kalangan pelajar ialah strategi yang paling berkesan. Islam sebagai agama syumul mempunyai nilai-nilai sejagat yang dapat diterapkan dalam diri pelajar. Di samping itu, menurut Abdullah Al-Qari b Haji Salleh, merokok boleh boleh menjejaskan akal fikiran manusia dan proses kematangannya. Rasullullah juga pernah bersabda bahawa, umat Islam dilarang menggunakan setiap yang memabukkan dan melemahkan tubuh dan akal fikiran.Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur kita sediakanlah payung sebelum hujan. Pendidikan yang utuh lagi mapan  haruslah dipraktikkan dalam diri remaja bermulanya daripada insan yang bergelar pendidik. Sekiranya pendidikan memberikan kesan yang mendalam kepada anak-anak remaja maka golongan perokok di negara kita dapat dikurangkan. Di samping itu, prinsip negara bebas daripada rokok dapat direalisasikan jika rokok diangkat menjadi musuh utama golongan remaja di negara ini.

                      Memetik wasitah nirmala yang berbeza, melalui kempen kesedaran yang diadakan oleh pihak governan seperti kempen antirokok, generasi muda akan lebih terdedah tentang bahaya merokok.Hal ini bertepatan dengan aforisme, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Hatta , kempen  secara berterusan terutamanya pada peringkat institusi pendidikan merupakan salah satu modus operanda yang efisien dalam menangani tabiat merokok. Hal ini kerana, melalui kempen di sekolah dan institusi pendidikan dilihat mampu menyalurkan maklumat secara berterusan kepada pelajar dan masyarakat. Di sekolah misalnya, penerapan kempen bahana merokok bukan sahaja diadakan secara formal tetapi juga melalui kempen serampang dua mata yang merentas kurikulum dalam bilik darjah. Perkara ini amat penting kerana dilihat mampu mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan pelajar dan masyarakat madani kini melalui pengajaran berkesan. Uswahnya, melalui mata pelajaran Sains pelbagai impak daripada tabiat merokok dapat diketaahui oleh pelajar. Kempen Tak Nak Merokok melalui media massa pada tahun 2010 telah berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai. Malahan jumlah Klinik Berhenti Merokok kerajaan telah ditambah daripada 167 buah kepada lebih 200 buah pada tahun ini. Oleh itu, pihak governan haruslah mevariasikan Kempen Tak Nak Merokok agar dapat menjadi satu medium yang dapat menarik dan membuka mata masyarakat setempat. Janganlah hanya bersandarkan cakap-cakap dan angan-angan Mat Jenin kerana walaupun gah setinggi gunung namun akhirnya jatuh  ke perdu kelapa jua.

                             Sebagaimana yang kita ketahui, banyak impak negatif akan berlaku jika remaja di Malaysia terus alpa dan terbawa-bawa dengan amalan merokok. Langkah yang berkesan dan pragmatik perlu diswadaya iaitu mengenakan tindakan tegas terhadap perokok yang merokok di kawasan larangan. Pemilik kedai yang menjual rokok kepada remaja berusia bawah 18 tahun  juga perlu dikenakan tindakan tegas dan didenda. Selain itu, perokok wajar dikenakan  tindakan tegas bagi memberikan pengajaran kerana memberi marabahaya kepada orang lain.Masalah ini perlu ditangani segera sebelum menjadi parah. Oleh itu, kempen antimerokok yang dilaksanakan perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak.Umpamanya, dalam ketamadunan Hwang Ho hanya ketegasan undang-undang yang dapat mengawal tingkah laku manusia dan tiada belas kasihan. Tindakan seperti menaikkan harga rokok ke paras maksimum dan denda kepada perokok yang ingkar terhadap larangan merokok perlu dilaksanakan segera. Sementelahan tindakan mandatori seperti ini mampu menimbulkan elemen ketakutan dan kesedaran dalam diri perokok tegar. Hal ini bertepatan dengan aforisme, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Sekiranya pihak penguat kuasa seiring sejalan dengan kempen antirokok di negara ini, maka masyarakat Malaysia akan bebas daripada kongkongan najis rokok yang merosakkan akal dan pemikiran umat manusia.

                             Sebagai pengitlakan, nasib sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Oleh itu semua pihak perlu bersatu hati, berpadu tenaga, bertindak seia sekata dalam mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah merokok dalam kalangan remaja. Hal ini bagi memastikan kewujudan sebuah bangsa Malaysia yang maju, berdaya saing dan memiliki citra bangsa yang kompetetif seiring dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun  Razak bagi menjadikan bangsa Malaysia bangsa yang bertaraf dunia. Namun begitu, iltizam remaja perlu dipahat jitu dalam diri mereka bertepatan dengan peribahasa serumpun bagai serai, seliang bagai tebu. Janganlah remaja tewas dalam godaan dan cabaran kehidupan yang semakin menjadi-jadi. Sebaliknya mereka perlu memperkasakan diri bagai burung jentayu patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku.

                                                                                                                                           

Tema: Semangat Patriotik

Soalan : Wajib lulus mata pelajaran Sejarah mampu meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Bahaskan.

Dasawarsa ini, isu semangat patriotik yang semakin luntur dalam atma rohani generasi akar umbi kerap menjadi perbincangan dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi konsepnya, semangat patriotik boleh didefinisikan sebagai semangat cinta akan tanah air dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara tercinta. Biasanya, golongan remaja yang tidak menyedari kepentingan sejarah silam tidak memiliki semangat patriotik. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Menurut Tun Dr Mahathir, tiada bangsa di dunia yang tidak mencintai tanah airnya sendiri. Natijahnya, negara akan menjadi mundur, masa depan negara kabur jika generasi pelapis luntur semangat patriotiknya. Oleh itu , langkah kerajaan yang akan mewajibkan pelajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) lulus mata pelajaran sejarah merupakan langkah yang pragmatik untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan belia.

Antara sebab kerajaan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Sejarah adalah kerana sifat menyeluruh isi kandungan mata pelajaran Sejarah. Hal ini kerana peristiwa dan tarikh yang tercatat dalam sejarah tidak boleh dipesongkan kerana faktanya tepat dan tidak terseleweng. Justeru, peristiwa 31 Ogos 1957 dan 13 Mei 1963 wajar dijadikan iktibar agar generasi muda lebih menghargai dan menyedari kepentingan sejarah silam. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Menurut Datuk Dr Haji fadzillah Kamsah, manusia tanpa sejarah, melakukan kesalahan yang sama berulang kali.Sekiranya, mata pelajaran Sejarah bersifat menyeluruh dipelajari dan dihayati oleh generasi pelajar , maka pastinya semangat patriotik akan lebih membara dalam jiwa mereka.

Selain itu, tiada cara lain yang lebih berkesan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam diri pelajar selain daripada mata pelajaran Sejarah. Hal ini kerana, mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik tidak membantu secara langsung pemupukan semangat patriotik.Menurut kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia mendapati,mata pelajaran Sejarah memberikan pendedahan kepada golongan pelajar untuk memahami dan menghayati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.Hal ini bertepatan dengan peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Menurut Abraham Lincoln, semangat patriotik  merupakan asas pembentukan sebuah negara bangsa. Sekiranya, segenap lapisan marhaen di Malaysia menghayati sejarah negara, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara maju, aman dan damai.

Dalam pada itu, semangat patriotik yang semakin luntur dalam kalangan remaja hari demi hari menyebabkan mata pelajaran Sejarah perlu diwajibkan untuk lulus. Hal ini demikian kerana terdapat banyak insiden tidak bermoral seperti menjadikan Jalur Gemilang sebagai kain basahan dan sikap kurang ajar Namawee yang menukar lirik lagu Negaraku ke Negarakuku. Justeru, mata pelajaran Sejarah perlu disuntik secara paksa dan lebih mendalam dengan cara wajib lulus. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, cegah sebelum parah. Sekiranya pelajar sedar dan percaya akan kepentingan wajib lulus mata pelajaran Sejarah, maka pastinya hasrat mahu melihat generasi muda lebih bersemangat patriotik akan tercapai.

Akhir kalam, isu semangat patriotik yang semakin luntur kerap menjadi polemik dalam kalangan rakyat Malaysia. Sememangnya, semangat patriotik  dalam diri rakyat Malaysia kini berada pada tahap yang rendah dan tidak boleh dibanggakan. Semoga,api semangat patriotik terus berkobar-kobar dan bernyala dalam diri setiap insan.Oleh itu kita perlu bersinergi supaya semangat patriotik dalam kalangan  marhaen lebih baik. Sekiranya, semangat patriotik kita tinggi, maka negara kita menjadi lebih utuh dan kukuh  seperti negara-negara atas angin.

[Nor Ainaa Binti M.Azam, 5 Bestari SMKBR]

Tema: Gejala Buli

Gejala buli semakin berleluasa dalam kalangan remaja.
Bincangkan langkah mengatasi gejala buli di sekolah.


Belakangan ini, isu gejala buli sering meniti dari bibir ke bibir golongan marhaen di negara ini. Dari segi konsepsinya, gejala buli boleh ditakrifkan sebagai perbuatan memeras ugut pelajar lain hingga mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa. Biasanya, murid sekolah menengah yang bermasalah terlibat dalam gejala buli ini. Keadaan pembuli dan mangsanya bertepatan dengan peribahasa, bagai anjing dengan kucing. Oleh itu, terdapat pelbagai strategi untuk mengatasi gejala buli di sekolah.

Antara prakarsa yang pragmatik dan berkesan untuk menangani gejala buli ialah remaja seharusnya bijak memilih rakan sebaya. Hal ini demikian dapat mengelakkan remaja daripada terlibat dalam gejala negatif. Justeru, remaja perlu mencari rakan yang Islamik, taat kepada kedua ibu bapa dan mempunyai budi pekerti mulia sebagai rakan akrab. Natijahnya, remaja boleh menghindarkan diri daripada terlibat dalam gejala buli serta perlakuan negatif yang lain. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Arab, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya. Rakan yang baik boleh dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan harum baunya. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, orang yang cemerlang dan hebat dalam pergaulan bermula daripada cetusan aura apabila dikelilingi rakan-rakan yang hebat. Sekiranya remaja Malaysia bijak dalam bersahabat, maka pastinya gejala buli dapat dikurangkan.

Selain itu, langkah seterusnya ialah ibu bapa bertanggungjawab memantau tingkah laku anak-anak mereka. Hal ini demikian, ibu bapa boleh mengesan sebarang perlakuan aneh anak-anak mereka. Justeru, ibu bapa seharusnya megetahui keberadaan anak-anak mereka dengan sentiasa berhubung melalui telefon bimbit. Natijahnya, ibu bapa boleh menghindarkan anak-anak mereka daripada sebarang perlakuan songsang terutamanya buli. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa pencoraknya. Pemantauan berkesan oleh ibu bapa dalam menangani gejala buli boleh dianalogikan seperti selimut yang menutup tubuh ketika kesejukan. Sekiranya, ibu bapa peka dengan tingkah laku anak-anak maka statistik masalah buli dalam kalangan remaja di sekolah akan berkurangan.

Selain itu, pihak kerajaan boleh menjenamakan semula kempen antibuli yang selama ini saban tahun diadakan di sekolah. Hal ini kerana kempen antibuli yang berteraskan ceramah dan pameran agak kurang terkesan di hati para pelajar. Pihak sekolah melalui Unit Disiplin Sekolah boleh menukar strategi kempen yang proaktif dan provokatif bagi tujuan menakut-nakutkan bakal pembuli. Justeru, pihak sekolah umpamanya boleh meminta kerjasama pihak Jabatan Penjara Malaysia atau Polis Diraja Malaysia bagi memastikan kempen antibuli menjadi lebih berkesan. Kerjasama pelbagai pihak dalam menangani gejala buli boleh diumpamakan seperti ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sekiranya, kempen antibuli berjaya meresapi nurani pelajar maka pastinya sekolah menjadi tempat yang lebih selamat untuk semua pelajar.


Akhir kalam, gejala buli yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat pelajar di negara ini perlu ditangani segera. Sememangnya gejala buli masih wujud namun banyak kes-kes terpencil disensasikan oleh media massa di negara ini. Semoga gejala buli dapat ditangani secara bijaksana oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pihak sekolah. Oleh itu  kita perlu bersinergi dalam memastikan gejala buli dapat dilenyapkan di bumi bertuah ini. sekiranya gejala buli tidak wujud maka Malaysia mampu berdiri gah di persada dunia dan mendabik dada kerana generasi mudanya bertaraf dunia.


[Nur Asyikin Zailan , 5 Bestari SMK BR]


Tema : Membaca

Masyarakat Malaysia perlu menjadikan amalan membaca sebagai budaya yang mampu merubah masa depan rakyat Malaysia. Bincangkan peranan ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak di rumah.

Dasawarsa ini, isu masyarakat Malaysia yang dikatakan antara masyarakat yang malas membaca menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi konsepsinya, membaca dapat ditakrifkan sebagai  amalam mulia yang dapat mencambah biak ilmu pengetahuan. Melalui amalan membaca kita dapat mengetahui isu-isu semasa sama ada di dalam ataupun di luar negara. Biasanya, golongan pelajar perlu lebih kerap membaca kerana mereka berada dalam lingkungan dunia pendidikan. Amalan membaca bertepatan dengan cogan kata, Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya. Oleh itu, terdapat banyak prakarsa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak di rumah.

Prakarsa perdana yang boleh diimplementasikan oleh ibu bapa dalam memupuk amalan membaca ialah membeli bahan bacaan secara berkala. Hal ini kerana, anak-anak akan sentiasa membaca bagi menambahkan ilmu pengetahuan serta menjadi insan berguna pada masa hadapan. Justeru, ibu bapa perlu memperuntukkan wang sebanyak RM50 sebulan bagi membeli bahan bacaan. Biasanya , ibu bapa yang prihatin dan mementingkan masa depan anak-anak akan membeli banyak bahan bacaan khusus untuk anak-anak. Implikasinya, anak-anak yang didedahkan dengan bahan bacaan meluas dapat berfikir secara rasional dalam semua bidang bagi memenuhi tuntutan membangunkan negara ke persada antarabangsa. Anak-anak yang didedahkan dengan bahan bacaan sejak kecil bertepatan dengan peribahasa, belakang parang jika diasah lagikan tajam.Ibu bapa yang sentiasa membelikan bahan bacaan setiap bulan boleh dianalogikan seperti pelukis handal yang mencorakkan dinding yang buruk. Menurut Datuk Dr Haji fadzillah kamsah, ibu bapa merupakan pencorak budaya membaca dalam jiwa anak-anak. Sekiranya, semua ibu bapa di negara kita mengamalkan sikap tidak buruk siku dalam membelikan bahan bacaan untuk anak-anak maka generasi yang lahir  nanti dapat bersaing dan duduk sama rendah dengan generasi maju di negara Barat.

Sementelahan pula, prakarsa afdal yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk memupuk amalan membaca di rumah adalah dengan menyediakan suatu ruangan sebagai perpustakaan mini di rumah. Dalam konteks ini, Mengapa perlunya perpustakaan mini di rumah?Hal ini demikian, kerana apabila  ada perpustakaan mini  di rumah, anak-anak tidak akan  membuang masa menyertai aktiviti yang tidak sihat di luar rumah. Justeru, ibu bapa haruslah mencari suatu ruang kecil atau pun bilik kecil di rumah bagi menempatkan bahan bacaan supaya anak-anak berasa selesa sewaktu membaca. Biasanya ibu bapa yang berkemampuan serta memiliki rumah yang besar mampu menyediakan perpustakaan mini di rumah. Natijahnya, anak-anak yang memiliki budaya membaca dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, sambil meyelam minum air. Menurut Tun Abdullah Ahmad Badawi,perpustakaan mini di rumah memudahkan pemantauan selamat sekali gus mengurangkan gejala sosial di negara kita. Sekiranya ibu bapa berjaya menwujudkan perpustakaan mini di rumah nescaya anak mereka akan menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan.

Akhirul kalam, masyarakat Malaysia dikatakan antara masyarakat yang malas membaca. Semoga amalan membaca dapat dapat diteruskan sepanjang masa. Oleh itu , kita perlu bersinergi bersama-sama dengan ibu bapa, pihak swasta dan kerajaan untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa hadapan. Sekiranya amalan membaca berjaya dipupuk  sejak peringkat akar umbi oleh ibu bapa, maka bangsa Malaysia akan menjadi lebih cemerlang serta mampu bersaing dengan negara-negara maju di dunia.

[Shafiq Hazizie 5 Etika, SMK BR]

Tema:Menabung

Pada era globalisasi,isu menabung kerap menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia.Dari segi konsepsinya,menabung boleh ditakrifkan sebagai amalan menyimpan wang ke dalam tabung untuk diguna pakai pada masa hadapan.Biasanya, kanak-kanak menabung seawal usia 5 tahun.Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa,sikit-sikit lama-lama jadi bukit.Oleh itu, terdapat banyak kebaikan yang dapat saya peroleh hasil daripada amalan menabung.

Antara kebaikan menabung ialah dapat menggunakan wang untuk menyambung pelajaran.Hal ini demikian, dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa.Justeru, kita mestilah menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan. Natijahnya, ibu bapa kita tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos pelajaran anak-anak.Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sekiranya ibu bapa memikirkan kemaslahatan masa depan anak-anak dengan menabung sejak awal lagi maka pastinya masa depan anak-anak akan cerah.

Selain itu, kemaslahatan menabung ialah wang yang disimpan dapat digunakan pada waktu kecemasan. Hal ini demikian kerana, wang tersebut dapat digunakan untuk membayar hutang dan membayar kos perubatan luar jangka. Justeru, kita mestilah menabung agar memudahkan kita di kemudian hari. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, sediakan payung sebelum hujan. Sekiranya kita bersedia menghadapi saat-saat kecemasan sejak awal lagi maka, kita tidak akan mengalami kesusahan.

Seyogia, faedah amalan menabung yang seterusnya ialah dapat membeli barangan mewah yang dihajati. Dalam konteks ini, barangan mewah dan berkualiti mampu kita miliki hasil amalan menabung. Biasanya, barangan mewah diimpikan oleh golongan berpendapatan sederhana dan berpendapatan rendah. . Natijahnya, mereka tidak perlu berhutang walaupun memiliki barangan eksklusif dan mewah. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, hendak seribu daya  , tak hendak seribu dalih. Sekiranya semua pelajar mengamalkan amalan menabung sejak kecil lagi maka, mereka dapat membeli pelbagai barangan tanpa menyusahkan kedua-dua ibu bapa mereka.


Akhir kalam, isu menabung yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat perlu diberikan perhatian oleh golongan pelajar. Semoga, amalan menabung dapat disubur biak dari peringkat akar umbi lagi. Sememangnya amalan menabung memberikan pelbagai kemaslahatan kepada umat manusia. Oleh itu, kita perlu bersinergi untuk memastikan amalan menabung dapat menjadi amalan masyarakat Malaysia. Ingatlah bahawa sesungguhnya peribahasa bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian akan memayungi hidup golongan yang suka menabung.
[ karangan nukilan pelajar Tingkatan 3 Terampil dan 5 Etika SMK BR]