KARANGAN RAMALAN CIKGU TAN

Ramalan SPM - Usaha Mengekalkan Budaya Warisan Rakyat Malaysia

Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis.
Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.[ 100 markah ]


Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa tak basah dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi. Yang berlaku sekarang, kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya “punk” dan “gotic” umpamanya menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah. Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang mengenali dan menghargai pakaian tradisional? Golongan yang muda masih bermain permainan tradisional mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.

Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita mengalir deras warisan daripada nenek moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal usulnya kecuali berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Hal ini bertepatan sekali dengan peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta. Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Oleh hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi. Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan ke arena sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan ini diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman daripada amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur. Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu menikmati hidangan. Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang luas. Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah busana. Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarkan memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya. Remaja seperti saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional. Mahukah kita melihat dengan bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia. Kita harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita adalah untuk melangsungkan kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup manusia yang terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu banyak membuat kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaann makanan tradisional. Jika kita membuat anjakan paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya” juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau. Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Janganlah kita berasa malu untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun pemikiran orang terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan zaman ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Oleh hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar? Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang murni? Ayuh rakyatku, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain. Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu dan padu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!


Sumber :  http://cikgutancl.blogspot.com/
nota kaki:
biru     : peribahasa /cogan kata
merah : kosa kata menarik/ ungkapan menarik
hitam  : isi

KARANGAN TEMA KEMALANGAN JALAN RAYA

Tema             :     Kemalangan jalan raya
Arah soalan  :     Langkah mengatasi kemalangan jalan raya

Contoh karangan bahagian pendahuluan (Nordiana Nordin 5 MPV)

        Mayapada, isu  kemalangan jalan raya sering diperkatakan di kedai-kedai kopi mahupun di kedai-kedai makan.Dari segi konsepsinya, kemalangan jalan raya boleh ditakrifkan sebagai pelanggaran kenderaan yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat dari tahun ke tahun. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu yang menyatakan, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, kita perlu menyusun langkah-langkah yang proaktif untuk mengatasi kemalangan jalan raya.

Contoh karangan bahagian pendahuluan (Suriani bt Hassan 5 S)

        Marcapada, jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Dari segi konsepsinya, kemalangan jalan raya boleh ditakrifkan sebagai nahas yang berlaku di jalan persekutuan dan jalan negeri. Kemalangan jalan raya melibatkan pelbagai usia sama ada tua mahupun muda. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, kemalangan jalan raya yang berlaku pada Hari Depavali dan Hari Raya Puasa 2009 meningkat 5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Oleh itu, setiap individu dalam negara ini harus memainkan peranan masing-masing untuk mengurangkan kadar nahas jalan raya.

* Bandingkan contoh karangan bahagian pendahuluan kedua-dua pelajar tersebut dan kuasai konsep ayat 1 hingga ayat 5.

Bahagian Isi
     Prakarsa perdana yang pragmatik untuk mengatasi kemalangan jalan raya adalah dengan mengadakan kempen keselamatan jalan raya. Hal ini demikian, dengan mengadakan kempen kita dapat melahirkan kesedaran dalam diri khususnya pengguna jalan raya. Pengguna jalan raya yang memiliki muhasabah diri yang tinggi, pastinya dapat dihasilkan melalui kempen yang berkesan. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, kempen kesedaran keselamatan jalan raya mampu memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu, alh bisa tegal biasa. Sekiranya, kempen berjaya meresapi sanubari pengguna jalan raya, maka jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pastinya dapat dikurangkan.

     Selain itu, prakarsa yang berkesan untuk mengatasi kemalangan jalan raya ialah melalui pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah. Antara tujuan pengenalan program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah adalah untuk melahirkan pemandu berhemah pada peringkat akar umbi. Pihak sekolah akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya bagi berkongsi idea dan pengalaman berkait kemalangan jalan raya. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, pendidikan keselamatan jalan raya mampu melahirkan pemandu yang berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Sekiranya, pendidikan keselamatan jalan raya yang diterapkan di sekolah menjadi amalan hingga dewasa, maka  kemalangan jalan raya sifar mampu dicapai.

KARANGAN PILIHAN (KEMELESETAN EKONOMI)

Kemelesetan ekonomi memberi kesan kepada negara dan mendatangkan masalah kepada keluarga.

Jelaskan langkah-langkah untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kesan kemelesetan ekonomi ini.
(Soalan Percubaan SPM Perlis 2009)


Contoh jawapan pelajar bahagian pendahuluan:

       Mayapada, kemelesetan ekonomi dunia telah memberi impak yang besar kepada negara dan mendatangkan masalah kepada keluarga. Dari segi konsepsinya, kemelesetan ekonomi merujuk kepada tekanan kewangan yang dihadapi oleh negara hingga menjejaskan kehidupan masyarakat sesebuah negara.Kemelesetan ekonomi dunia berlaku pada hari ini tatkala pasaran eksport negara semakin hilang kompetitif dan hal ini menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan hingga mengganggu gugat kesejahteraan keluarga. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, kemelesetan ekonomi dunia turut menjejaskan ekonomi Malaysia dan akibatnya sektor perusahaan dan perkhidmatan mengalami penyusutan permintaan. Oleh itu, langkah yang proaktif perlu diambil segera bagi meringankan beban keluarga dalam menghadapi kegawatan ekonomi pada hari ini.

Contoh jawapan pelajar bahagian isi (Mohd Asyraf bin Zulkiflee, SMK Beserah)

       Langkah perdana untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kemelesetan ekonomi adalah dengan mengamalkan amalan berjimat cermat. Hal ini demikian, kerana berjimat cermat dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga. Justeru, kita hendaklah membeli barang yang diperlukan sahaja dan mengurangkan pembelian barangan mewah. Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, hampir  47 peratus rakyat Malaysia berbelanja melebihi kemampuan mereka dan hal ini sangat membimbangkan. Oleh itu, sikap biar papa asalkan bergaya yang menjadi amalan segelintir rakyat di negara ini perlu ditangani segera. Sekiranya, amalan berjimat cermat berjaya disemai dan menjadi amalan rakyat Malaysia, nescaya beban keluarga dapat  diringankan sekali gus mampu menghadapi tsunami kemelesetan ekonomi dunia.

Contoh jawapan pelajar bahagian isi ( Nurul Nahdirah bt Mohd Yusoff, SMK Beserah)


       Prakarsa seterusnya untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kegawatan ekonomi adalah dengan membuat tabungan. Hal ini demikian, kerana kta dapat menampung perbelanjaan luar jangka apabila mengalami kecemasan atau kesempitan wang.  Justeru, ibu bapa dan anak-anak harus menabung pada setiap hari dan sentiasa berhemah ketika berbelanja. Menurut Datuk Dr Hassan Ali, tabungan yang disimpan di bank boleh menjadi penyelamat pada masa gawat. Sekiranya, semua rakyat Malaysia mengamalkan amalan menabung , maka kita mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga.


Contoh jawapan pelajar bahagian kesimpulan


Sebagai akhir kalam, kemelesetan ekonomi dunia telah memberi impak yang besar kepada negara dan mendatangkan masalah kepada keluarga.Semoga kita dapat menghadapi era kemeselesetan ekonomi dunia secara hikmah dan bijaksana. Sememangnya, kemelesetan ekonomi bukan sahaja dihadapi oleh keluarga malah masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Oleh itu, prakarsa yang pragmatik dan berkesan yang dicadangkan diharapkan dapat menjadi penawar yang paling mujarab dalam menangani masalah ini. Sekiranya, beban yang ditanggung oleh keluarga dapat dikurangkan melalui langkah yang dicadangkan maka ekonomi negara Malaysia mampu dikembalikan ke landasan yang betul dalam menuju Wawasan 2020.

KARANGAN PELAJAR 5 S (SEMANGAT PERPADUAN)

Tajuk :

Langkah-langkah untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat lebih berkesan sekiranya dimulakan dari rumah.

Bincangkan peranan yang dapat dimainkan oleh ibu bapa dalam usaha menyemai semangat perpaduan yang jitu dalam diri anak-anak

Contoh jawapan bahagian pendahuluan (Nor Akidah bt Abdul Hamid 5 s)

Marcapada,semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di Malaysia sudah semakin luntur. Dari segi konsepsinya, semangat perpaduan boleh ditakrifkan sebagai kerjasama antara satu sama lain tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Semangat perpaduan sememangnya cukup penting dalam mendepani dunia yang semakin mencabar pada hari ini sehinggakan masyarakat lebih suka membuat hal sendiri. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu, bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Menurut Tun Abdullah Ahmad Badawi, untuk mewujudkan masyarakat Hadhari, perpaduan antara kaum harus dipupuk terlebih dahulu pada peringkat akar umbi. Oleh itu, ibu bapa mestilah menyemai semangat perpaduan dalam diri anak-anak supaya mereka menyedari kepentingan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat dalam konteks Satu Malaysia.

Contoh jawapan pelajar bahagian isi (Zuhaima Yunos 5 s)

Antara peranan ibu bapa ialah menjadi suri teladan kepada anak-anak melalui hubungan mereka dengan jiran tetangga. Hal ini demikian, kerana ibu bapa memberi pengaruh yang kuat terhadap sikap anak-anak mereka. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu yang menyatakan, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Selain itu, tingkah laku ibu bapa merupakan elemen didikan tidak formal bagi mengukuhkan sikap positif dalam diri anak-anak. Menurut Datuk Dr. Fadzillah Kamsah, sebanyak 70 peratus masalah sosial dalam kalangan remaja berpunca daripada suri teladan tidak baik yang dipamerkan oleh ibu bapa di rumah. Di samping itu, ibu bapa boleh menunjukan nilai perpaduan dengan jiran tetangga melalui amalan ziarah , tolong-menolong,bertoleransi dan menjaga kepentingan jiran. Sekiranya, ibu bapa berjaya menunjukkan suri teladan yang baik kepada anak-anak maka hubungan antara jiran yang jauh mampu dirapatkan dan hubungan jiran yang rapat mampu dikukuhkan.

* suri teladan (role model)

Contoh jawapan pelajar bahagian kesimpulan (Nor Salwati bt Marzuki 5s)

Sebagai akhir kalam, perpaduan kaum di Malaysia amat penting dalam membina impian masa depan yang gemilang, Semoga, ibu bapa tidak memandang enteng keperluan semangat perpaduan dalam jiwa anak-anak. Sesungguhnya, generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu perlu dijana untuk melahirkan pemimpin pelapis pada masa akan datang. Sememangnya, perpaduan perlu menjadi cerucuk utama pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, kita perlu mengorak langkah dengan memberi sokongan dan dokongan kepada ibu bapa dalam usaha pembentukan masyarakat sakinah. Sekiranya, semua pihak bersinergi dalam mewujudkan perpaduan kaum nescaya segala impian akan terealisasi.


PERIBAHASA MELAYU

SENARAI PERIBAHASA DALAM BUKU TEKS BAHASA MELAYU
PERIBAHASA DALAM BUKU TEKS TINGKATAN 4

1.Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.
2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.
3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.
4. Meninggi diri
Maksud : Sombong
5. Bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.
6. Baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).
7. Tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan
8. Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.
9. Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.
10. Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.
11. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau dua pihak yang sama darjat dalam adat
12. Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang
13. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.
14. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.
15. Terang hati
Maksud : Lekas pandai.
16. Rendah hati
Maksud : Tidak sombong
17. Murah hati
Maksud : Pemurah.
18. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.
19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.

PERIBAHASA DALAM BUKU TEKS TINGKATAN 5

1. Lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.
2. Bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.
3. Anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat
4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.
5. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah
6. Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.
7. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.
8. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.
9. Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.
10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.
11. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan
12. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..
13. Memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.
14. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tidak akan tercapai maksudnya kalau tidak mahu berusaha dan bersusah payah. 15.Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.
16. Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha
17. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.
18. Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.
19. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.
20. Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana mengejar sesuatu, yang sudah di tangan hilang pula.
21. Mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.
22. Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.
23.Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.
24. Berbesar hati
Maksud : Gembira.
25. Anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.
26. Tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara
27. Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.
28. Batu penghalang
Maksud : Halangan yang dihadapi.
29. Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : Orang lelaki yang merisik bakal isterinya.
30. Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : Perantau yang pulang ke tempat asal.

TEKNIK MUDAH PERENGGAN

TMP : ALTERNATIF BAGI PELAJAR SEDERHANA DAN POTENSI

TMP sebagai alternatif pelajar sederhana dan potensi dibentangkan dalam Pertandingan Inovasi Guru Kategori Individu Menengah Pahang 2009. Memperoleh tempat ketiga Negeri Pahang 2009 dan tempat kedua Sempena Hari Guru Daerah Kuantan 2009.


A. STRUKTUR SETIAP PERENGGAN


A1 =Idea utama
A2 = Huraian
A3 = Huraian
A4 = Data, contoh, statistik, pendapat, peribahasa, ungkapan menarik
A5 = Kesimpulan perenggan

* A ialah ayat


B. PANDUAN PERMULAAN PERENGGAN PENDAHULUAN


Pelajar memulakan karangan dengan kata / frasa berikut ;
Akhir-akhir ini,......
Kebelakangan ini,......
Belakangan ini,......
Mayapada,.............
Marcapada,...........

Dasawarsa ini,.....
Dalam mengejar era modenisasi.......


C. PANDUAN MEMULAKAN PERENGGAN IDEA


Mulakan ayat idea utama dengan kata arah soalan seperti berikut;
Punca/cara / usaha / kepentingan yang perlu diperhalusi ialah,.....................

D. PANDUAN MENULIS KESIMPULAN / PENUTUP KARANGAN


Mulakan ayat kesimpulan dengan kata berikut;
Kesimpulannya,.....
Secara tuntas,.........
Sebagai akhir kalam,.......

Akhirul kalamnya,.....
Konklusinya,............
Sebagai intiha,..........


E. KONSEP ASAS YANG PERLU DIKETAHUI PELAJAR


Tema = isu dalam soalan
Ayat Arah = ayat yang menjurus kepada kehendak soalan
Ayat Huraian = ayat yang menghurai idea
Ayat Contoh = ayat yang menyatakan contoh(dimulakan dengan Menurut ...atau Sebagai contoh,..)berdasarkan pengetahuan sedia ada pelajar tanpa merujuk bahan / maklumat yang betul
Ayat Simpul = Ayat yang menggabungkan harapan , pandangan dan cadangan terhadap isu


F. PROSEDUR PELAKSANAAN
OLEH GURU DI SEKOLAH

1. Guru menjelaskan secara ringkas perkara A,B,C,D dan E
2. Guru mengedarkan bahan modul latihan bahagian pendahuluan,isi dan kesimpulan kepada pelajar.
3. Guru memudah cara dan membimbing pelajar bermula ayat 1 hingga ayat 5 bahagian pendahuluan, diikuti bahagian isi dan bahagian kesimpulan.
4. Guru perlu memastikan pelajar menulis ayat demi ayat bersama-sama. Jika ada pelajar yang masih belum menghabiskan ayat sebelumnya, guru perlu memastikan pelajar tersebut menulis sebelum memulakan ayat seterusnya.

MENULIS KESIMPULAN

Perkara asas yang perlu ada pada pelajar semasa menulis bahagian kesimpulan ialah;

i. Mengetahui elemen asas kesimpulan seperti
pandangan, cadangan dan harapan .
ii. Pandangan perlu bermula dengan (Sememangnya...)
iii. Harapan perlu bermula dengan (Semoga...)
iv. Cadangan perlu bermula dengan ( Oleh itu,
kita perlu...
)