KARANGAN PILIHAN (KEMELESETAN EKONOMI)

Kemelesetan ekonomi memberi kesan kepada negara dan mendatangkan masalah kepada keluarga.

Jelaskan langkah-langkah untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kesan kemelesetan ekonomi ini.
(Soalan Percubaan SPM Perlis 2009)


Contoh jawapan pelajar bahagian pendahuluan:

       Mayapada, kemelesetan ekonomi dunia telah memberi impak yang besar kepada negara dan mendatangkan masalah kepada keluarga. Dari segi konsepsinya, kemelesetan ekonomi merujuk kepada tekanan kewangan yang dihadapi oleh negara hingga menjejaskan kehidupan masyarakat sesebuah negara.Kemelesetan ekonomi dunia berlaku pada hari ini tatkala pasaran eksport negara semakin hilang kompetitif dan hal ini menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan hingga mengganggu gugat kesejahteraan keluarga. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, kemelesetan ekonomi dunia turut menjejaskan ekonomi Malaysia dan akibatnya sektor perusahaan dan perkhidmatan mengalami penyusutan permintaan. Oleh itu, langkah yang proaktif perlu diambil segera bagi meringankan beban keluarga dalam menghadapi kegawatan ekonomi pada hari ini.

Contoh jawapan pelajar bahagian isi (Mohd Asyraf bin Zulkiflee, SMK Beserah)

       Langkah perdana untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kemelesetan ekonomi adalah dengan mengamalkan amalan berjimat cermat. Hal ini demikian, kerana berjimat cermat dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga. Justeru, kita hendaklah membeli barang yang diperlukan sahaja dan mengurangkan pembelian barangan mewah. Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, hampir  47 peratus rakyat Malaysia berbelanja melebihi kemampuan mereka dan hal ini sangat membimbangkan. Oleh itu, sikap biar papa asalkan bergaya yang menjadi amalan segelintir rakyat di negara ini perlu ditangani segera. Sekiranya, amalan berjimat cermat berjaya disemai dan menjadi amalan rakyat Malaysia, nescaya beban keluarga dapat  diringankan sekali gus mampu menghadapi tsunami kemelesetan ekonomi dunia.

Contoh jawapan pelajar bahagian isi ( Nurul Nahdirah bt Mohd Yusoff, SMK Beserah)


       Prakarsa seterusnya untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kegawatan ekonomi adalah dengan membuat tabungan. Hal ini demikian, kerana kta dapat menampung perbelanjaan luar jangka apabila mengalami kecemasan atau kesempitan wang.  Justeru, ibu bapa dan anak-anak harus menabung pada setiap hari dan sentiasa berhemah ketika berbelanja. Menurut Datuk Dr Hassan Ali, tabungan yang disimpan di bank boleh menjadi penyelamat pada masa gawat. Sekiranya, semua rakyat Malaysia mengamalkan amalan menabung , maka kita mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga.


Contoh jawapan pelajar bahagian kesimpulan


Sebagai akhir kalam, kemelesetan ekonomi dunia telah memberi impak yang besar kepada negara dan mendatangkan masalah kepada keluarga.Semoga kita dapat menghadapi era kemeselesetan ekonomi dunia secara hikmah dan bijaksana. Sememangnya, kemelesetan ekonomi bukan sahaja dihadapi oleh keluarga malah masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Oleh itu, prakarsa yang pragmatik dan berkesan yang dicadangkan diharapkan dapat menjadi penawar yang paling mujarab dalam menangani masalah ini. Sekiranya, beban yang ditanggung oleh keluarga dapat dikurangkan melalui langkah yang dicadangkan maka ekonomi negara Malaysia mampu dikembalikan ke landasan yang betul dalam menuju Wawasan 2020.