KARANGAN BAHAGIAN A (SPM 2009)


SKRIP CONTOH – CEMERLANG ( 28 MARKAH)
            Badan beruniform tidak asing lagi bagi masyarakat terutamanya golongan remaja yang bergelar pelajar. Secara holistiknya, badan-badan beruniform yang ditubuhkan di sekolah mendapat sambutan dan penyertaan yang menggalakkan daripada  pelajar. Badan-badan beruniform seperti Kadet Polis, Persatuan Bulan Sabit Merah, Kadet Remaja Sekolah dan lain-lain lagi bukan sahaja menarik minat golongan pelajar dengan aktiviti-aktivitinya, malah faedah-faedah menyertai badan berunuform mendorong pelajar untuk melibatkan diri dalam badan-badan beruniform
            Antara faedah menyertai badan beruniform ialah dapat meningkatkan mental dan fizikal pelajar. Seperti yang kita ketahui, badan beruniform biasanya menjalankan aktiviti yang agak lasak dan mencabar ketahanan mental dan fizikal peseanya. Hal ini sudah tentu mampu meningkatkan ketahanan bukan sahaja dari segi fizikal malah mental peserta. Sebagai contoh, Kadet Remaja Sekolah menjalankan aktiviti “Flying Fox” yang menguji fizikal dan mental. Bagi ahli kadet yang baru pertama kali menyertai aktiviti ini, aktiviti ini merupakan pengalaman baru yang mencabar mental dan fizikal mereka sekali gus meningkatkan ketahanan mental dan fizikal mereka. Oleh yang demikian, badan beruniform terbukti dapat meningkatkan ketahanan mental dan fizikal peserta.
            Selain itu, badan beruniform juga dapat membentuk semangat kerjasama dan disiplin ahli yang jitu. Hal ini demikian, dalam badan beruniform terdapat pelbagai peraturan yang perlu dipatuhi oleh ahli sama ada ketika menjalankan aktiviti mahupun hari-hari biasa. Badan beruniform amat menekankan disiplin ahli  yang tinggi dan semangat kerjasama antara ahli bagi menjayakan sesuatu aktiviti. Hal ini dapat digambarkan melalui aktiviti perkhemahan yang dijalankan oleh badan beruniform seperti Persatuan Pengakap. Hal ini kerana, dalam aktiviti perkhemahan setiap ahli akan diberikan tugasan sama ada secara berkumpulan atau berpasangan. Oleh itu, setiap ahli yang berdisiplin akan menjalankan tugas dengan sempurna di samping bekerjasama dengan ahli yang lain bagi menyempurnakan tugas tersebut. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa badan beruniform mampu membentuk semangat kerjasama dan disiplin ahli yang jitu.
            Badan beruniform  juga dapat memberikan pengetahuan asas bantuan kecemasan kepada ahli. Hal ini kerana, terdapat badan beruniform yang menyediakan program bagi mendedahkan ahli tentang asas bantuan kecemasan melalui teori dan praktikal. Hal ini secara tidak langsung akan menambah pengetahuan asas bantuan kecemasan kepada ahli. Sebagai contoh, ahli Persatuan  Bulan Sabit Merah dapat mengaplikasikan asas-asas bantuan kecemasan kepada atlet-atlet yang mengalami kecederaan semasa aktiviti sukan sekolah.
            Kesimpulannya, badan beruniform banyak memberikan faedah kepada ahli yang menyertainya. Oleh itu, langkah-langkah untuk menubuhkan lagi badan beruniform wajar dilaksanakan agar peluang terutamanya kepda remaja terbuka luas untuk menyertainya sekali gus dapat melahirkan remaja yang berwawasan dan mampu menjadi aset penting negara.